Thursday, December 5, 2019

KESAN-KESAN PENDERAAN KANAK-KANAK

Dalam kes penderaan kanak-kanak, pendera akan meninggalkan kesan yang buruk kepada mangsa mereka. Kesan-kesan ini tidak mudah dihapuskan dan memerlukan masa yang panjang untuk menghapuskan kesan itu. Ada sebahagian kesan sudah tidak boleh ditanggalkan dan akan mengikut mangsa itu seumur hidupnya. Antara kesan kesannya ialah kesan penderaan fizikal. Penderaan fizikal akan meninggalkan parut-parut dan kecederaan di badan mangsa. Penderaan yang sangat serius akan menyebabkan kecacatan anggota badan kanak-kanak. Yang paling serius akan meragut nyawa kanak-kanak itu. Semua kecederaan ini boleh dilihat pada fizikal kanak-kanak tetapi ada kecederaan yang tidak dapat dilihat dengan mata. Ini merupakan parut yang tersembunyi dan kemungkinan besar sembunyi sehingga mangsa meningkat dewasa. Mangsa penderaan fizikal mudah terfikir untuk membunuh diri apabila mereka menghadapi masalah. Mereka juga mungkin terencat daya pembelajarannya, mengalami gangguan kelakuan, mempunyai imej diri yang buruk, penyalahgunaan dadah atau arak serta meluahkan perasaannya secara seksual. Semasa menghadapi risiko yang lebih besar, mereka akan mengalami kegelisahan, kemurungan, salah guna bahan, salah guna ubat-ubatan, dan masalah di sekolah ataupun di tempat kerja. Mereka sukar menjalinkan hubungan peribadi yang intim disebabkan kenangan silam mereka. Selain itu, orang dewasa yang didera semasa kanak-kanak biasanya akan meneruskan kitaran penderaan ini dengan mendera anak mereka sendiri.
Kesan yang kedua ialah kesan penderaan seksual mangsa penderaan seksual akan menghadapi masalah emosi terganggu yang serius. Mangsa akan mudah mempunyai tanggapan kronik bahawa dirinya tidak berupaya, putus harapan, kemurungan, sukar empunyai orang lain, menyalah dirinya sendiri, melakukan perbuatan yang membinasakan dirinya sendiri, dan harga diri yang rendah. Mereka akan berasa diri sendiri sangat kotor dalam fizikal dan mental mudah mempunyai masalah psiokologi. Tambahan pula, mereka sukar untuk menjalin hubungan yang rapat dengan orang lain kerana mereka sudah kehilangan daya untuk mempercayai orang lain. Kaji selidik peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa penderaan seksual yang berlaku berulang kali akan menyebabkan perubahan fizikal yang boleh akhirnya mengakibatkan salah guna dadah dan arak pada peringkat hidup yang kemudian. Selain itu, kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual mungkin akan hamil dan berlakunya kes pembuangan bayi. Mereka juga mungkin akan dapat penyakit kelamin seperti HIV.
Kesan terakhir ialah penderaan emosi tidak serta merta meninggalkan tanda-tanda fizikal pada kanak-kanak. Sebaliknya, penderaan emosi merosakkan perasaan, nilai diri dan kebolehan kognitif kanak-kanak. Penderaan ini menjejaskan perkembangan kanak-kanak. Akibat penderaan emosi boleh membinasakan jiwa dan berjangka panjang. Peningkatan risiko pola kemurungan, kerenggangan diri, kegelisahan, tanggapan bahawa harga dirinya rendah, hubungan yang sumbang atau bermasalah, kurang rasa empati seumur hidupnya. Mereka tidak mempunyai keyakinan diri dan mudah berputus asa dalam semua perkara. Mereka tidak akan menghargai dan menyayangi diri sendiri. 

No comments:

Post a Comment